Sejarah dan Konsep Kapal_korek_di_Malaysia

Kapal Korek pertama diperkenalkan di Malaysia ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah, Perak. Manakala kapal korek paling moden yang terakhir sekali dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985. Kapal korek yang paling tua pada ketika itu mencecah usia hampir 70 tahun.

Kapal korek digunakan oleh syarikat-syarikat bijih timah di Malaysia pada satu masa dahulu. Boleh dikatakan hampir semua syarikat pengoperasi kapal korek di Tanah Air adalah milik penjajah.

Bagaimanapun setelah kemerdekaan dicapai, sedikit demi sedikit kepentingan dalam syarikat-syarikat pengoperasi kapal korek mula dimiliki oleh entiti tempatan. Malah pada kemuncaknya, syarikat-syarikat milik tempatan berjaya membina dan memiliki kapal korek barunya sendiri.

Lokasi

Dari segi sejarah, walaupun timah di Malaysia turut di temui di negeri Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, akan tetapi kebanyakkakn kapal korek beroperasi di dua negeri utama iaitu Perak dan Selangor.

Tronoh Mines Limited melalui Pelepah Tin Dredging Limited pada 1932 pernah membina dan mengoperasikan sebuah kapal korek baru di Kota Tinggi, Johor. Kapal korek dengan nama 'Pelepah' itu adalah kapal korek pertama di negeri berkenaan.[2] Pada sekitar 80an, MMC juga pernah memindahkan sebuah kapal koreknya ke Johor melalui anak syarikat usahasamanya bersama Jcorp iaitu Syarikat Lombong Sebina Johor Sdn Bhd.[3]

Pendorong

Generasi awal kapal korek beroperasi menggunakan arang batu (bekuasa wap) tetapi selepas era perang dunia kedua, sedikit demi sedikit kapal korek di Malaysia mula beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Salah satu contohnya ialah kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap (arang batu) kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Rekabentuk & Aliran Kerja

Bentuk kapal korek menyerupai sebuah kilang yang terapung diatas air dengan lantai, dinding dan atapnya yang datar. Kapal korek terapung di tasik buatan atau semula jadi dan pencedok-pencedok besar itu akan mengaut tanah/pasir yang mengandungi bijih dan mengangkutnya ke satu tempat tinggi di dalam badan kapal korek. Bahan-bahan yang telah dikorek itu dicairkan/dileraikan oleh sumpitan-sumpitan air ketika bahan - bahan itu mula masuk ke dalam tabung silinder (trommel screen) yang berputar bagi memisahkan kotoran dan batuan sementara bahan-bahan yang mengandungi timah akan terkeluar bersama air dari tabung silinder dan disalurkan ke loji pemisah pertama di mana unsur-unsur mineral yang berat itu terkumpul.[1]

Pengasingan Bijih

Pada awalnya, sistem rawatan pengasingan bijih timah dalam era awal kapal korek menggunakan kaedah rawatan 'sluice boxes'[4] (hampir sama seperti kaedah palong di lombong pam kerikil - anda boleh melihat sistem ini jika melawat ke kapal korek TT5) bagi mengasingkan bijih timah. Ruang dalaman kapal korek yang terhad tidak memungkinkan palong dibina dengan lebih besar dan panjang seperti di darat sekaligus menghadkan kelajuan pengorekkan kapal korek. Semakin tinggi jumlah timah yang ditemui, maka mahu atau tidak kelajuan pengorekkan mesti diperlahankan bagi mengelak kehilangan hasil.

Tetapi kemudian iaitu sekitar tahun 60an dan keatas banyak kapal korek moden yang dibina di Malaysia menggunakan kaedah rawatan 'Circular Jigs' yang lebih pantas dan efektif dalam mengasingkan bijih timah.[4] Malah kaedah pengasingan bijih timah menggunakan 'Circular jig' menjadi semakin maju saban tahun ditambah pula dengan pengaliran semula 'tailings' dari peringkat kedua dan 'over-flow' dari 'jigs' peringkat ketiga rawatan ('tertiery jigs') ke 'Trommel Screen' semula menjadikan sistem pengasingan bijih bertambah efisyen.

Amat malang, walaupun sistem perlombongan menjadi semakin maju pada sekitar 70-an dan 80-an, namun deposit timah gred tinggi (yang kurang amang) sudah tandus selepas beberapa dekad perlombongan bijih timah dijalankan dalam negara. Rata-rata jumlah konsentrasi yang direkodkan di kebanyakkan lombong di Malaysia pada sekitar 90an bagi setiap deposit hanya mengandungi hasil timah 0.1kg/m3 berbanding diposit dari negara lain seperti Brazil yang boleh mencapai kandungan sebanyak 3kg/m3.[5]

Anggaran Harga

Pada era 1980an, harga sebuah kapal korek yang moden serta besar dan mempunyai berat dalam anggaran 5,100 tan metrik bernilai kira-kira RM30 juta untuk membinanya. [1]

Tenaga Kerja

Kapal korek lama memerlukan banyak tenaga kerja. Seramai 30 hingga 40 orang anak kapal diperlukan untuk pelbagai tugasan bagi setiap shif bergantung pada saiz kapal. Namun kapal korek moden yang dibina sekitar 70an hingga 80an hanya memerlukan sekitar 15 orang bagi setiap shif sekaligus mengurangkan beban kewangan kepada syarikat pengoperasi.

Selepas kejadian menyayat hati di Puchong, maka atas faktor keselamatan, undang-undang baru telah diperkenalkan pada pertengahan 80an yang menghadkan jumlah anak kapal pada satu-satu masa didalam badan setiap kapal korek adalah tidak melibihi 20 orang. Peraturan baru ini sekaligus menyebabkan kapal korek lama yang memerlukan ramai tenaga kerja hilang kelayakkan untuk meneruskan operasi.

Pergerakkan Kapal

Kapal korek tidak dibina sepertimana kapal laut atau bot besar dan hanya terapung diatas air menggunakan beberapa buah pontun yang digabungkan menjadi satu ketika pemasangan. Keadaan air lombong tidak memungkinkan kapal korek untuk dipasang dengan bebaling seperti mana kapal di laut.

Jadi, kapal korek bergerak ke sekitar lombong menggunakan beberapa tali dari winch yang dipasang disetiap penjuru/sisi kanan dan kiri serta hadapan kapal korek yang mana tali-tali dari setiap winch akan ditambat di tepi tebing atau disauh (anchored) di dasar. Winch akan berpusing untuk menarik tali perlahan-lahan hingga kapal korek bergerak sedikit demi sedikit.

Paling utama ialah tali dari bahagian muncung hadapan kapal atau dipanggil 'mooring winch'. Tekanan yang terhasil dari pergerakkan pencedok-pencedok yang mengaut dasar lombong ketika pengorekkan akan menyebabkan kapal korek akan sentiasa ingin mundur ke belakang. Bagi mengelakkannya, tali dari mooring winch perlu ditambat ke tebing atau disauh dengan kuat ke dasar lombong.

Rujukan

WikiPedia: Kapal_korek_di_Malaysia http://cdn1.i3investor.com/my/files/dfgs88n/2000/0... http://malaysianminerals.com/savethedredge.pdf http://www.rakyatpos.com/kapal-keruk-koba-tin-terg... http://digicoll.library.wisc.edu/cgi-bin/EcoNatRes... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://www.ocie.com.my/Clients/ociecommy/dredge-cp... http://www.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid=...